SAYA berusia 38 tahun dan berkahwin selama lapan tahun. Kami sudah berjumpa ramai doktor kesuburan untuk mendapatkan rawatan setelah tiga tahun berkahwin dan tidak memperoleh cahaya mata.
Doktor mengatakan saya dan suami tidak normal dan memberikan pil kesuburan selama lebih setahun, tetapi hampa. Saya juga pernah menjalani rawatan permanian berhadas (IUI) sebanyak empat kali, tetapi masih tidak berhasil.
Menurut doktor, telur saya ada, tetapi kami tetap gagal. Doktor kemudian merujuk saya kepada pakar persenyawaan tabung uji (IVF) di Kuala Lumpur. Bersama doktor terbabit, saya dinasihatkan menjalani pembedahan membuang fibroid pada rahim sebelum menjalani rawatan IUI sekali lagi menggunakan suntikan hormon, tetapi masih gagal hamil.
Kemudian pada Jun 2009, saya menjalani rawatan IVF seperti disarankan. Doktor mendapati telur saya banyak (12), tetapi hanya lima yang membentuk embrio, selebihnya tidak menjadi. Itupun, hanya empat yang berkembang dan dimasukkan semula.
Keputusannya menunjukkan saya tidak hamil. Saya amat kecewa. Apakah pendapat doktor mengenai keadaan saya? Mengapa saya masih gagal hamil walaupun sudah menjalani rawatan IVF?
Doktor mencadangkan saya menjalani rawatan ICSI pula. Apakah peratusan kemungkinan saya hamil dengan ICSI? Berapakah anggaran kos ICSI? Di manakah saya boleh mendapatkan rawatan IVF atau ICSI dengan kos di bawah RM10,000? Ini kerana saya sudah menghabiskan lebih RM30,000 untuk pembedahan dan rawatan IVF terbabit dan kini kurang berkemampuan.
IDA,
Seremban
PROSES kehamilan yang sihat terdiri daripada turutan beberapa langkah atau perkara penting, sebahagiannya masih belum difahami sepenuhnya dalam perubatan moden.
Antara langkah terbabit termasuk:
1. Pembesaran atau perkembangan telur yang optimum bagi membolehkan berlakunya ovulasi (pengeluaran telur daripada kantung atau folikel di dalam ovari).
2. Penghasilan telur yang normal.
3. Tiub fallopio yang tidak tersumbat.
4. Kemasukan telur ke dalam tiub fallopio melalui ‘kuasa tarikan’ oleh tiub itu (sukar jika tiub tidak berfungsi elok contohnya bagi penyakit endometriosis yang boleh merosakkan fungsinya).
5. Penghasilan sperma dalam kuantiti yang mencukupi dan kualiti (sifat dan cara pergerakannya) yang optimum bagi meningkatkan peluang ia berenang ke penghujung tiub fallopio.
6. Kehadiran sperma pada waktu hayat telur masih ada (memandangkan telur dapat bertahan sekitar 24 jam saja).
7. Keupayaan sperma menembusi selaput atau dinding telur.
8. Keupayaan bahan genetik sperma bercantum dengan bahan genetik telur dan menghasilkan embrio.
9. Keupayaan embrio terus membahagi dan membesar.
10. Keupayaan tiub fallopio menolak embrio masuk ke dalam ruang rahim.
11. Keupayaan embrio untuk melekat atau implantasi menerusi permukaan dinding rahim.
12. Penerimaan tubuh ke atas embrio dan pembesaran selanjutnya.
Langkah 2,8,9,11 dan 12 ialah langkah yang masih belum dapat ditangani perubatan moden. Ini bermakna teknologi perubatan moden:
# (2) belum dapat memastikan telur yang dihasilkan adalah normal,
# masih belum dapat memastikan sperma yang memasuki telur itu adalah sepenuhnya normal (walaupun bentuknya kelihatan normal),
# (8) masih belum dapat memastikan bahan genetik sperma dan bahan genetik telur akan bersenyawa (walaupun setelah sperma disuntik masuk ke dalam telur melalui bantuan ICSI),
# (9) masih belum dapat memastikan embrio yang dihasilkan dapat berkembang selanjutnya (walaupun disahkan normal kromosomnya melalui ujian PGD)
# (11) masih belum dapat memastikan implantasi embrio berlaku dengan jayanya.
# (12) masih belum dapat menangani sepenuhnya keguguran berulang.
Itulah sebabnya kadangkala doktor tertanya-tanya dan tidak dapat mencari jawapan punca berlakunya kegagalan sedangkan semuanya berjalan lancar, atau sebaliknya bagaimana berlaku kehamilan sedangkan embrio kelihatan tidak cantik (gred rendah) dan lapisan endometrium kurang optimum.
Anda mungkin mempunyai satu atau lebih masalah utama iaitu kualiti telur dan kualiti sperma suami. Pada usia anda, bilangan telur yang diperoleh banyak atau mencukupi serta dijangka tidak mendedahkan anda terhadap komplikasi serius akibat rangsangan keterlaluan (OHSS).
Namun, pada usia anda juga, kualiti telur yang dihasilkan boleh rendah kerana usia telur anda juga meningkat sejak penghasilannya sewaktu anda masih pada peringkat janin dalam kandungan ibu lagi.
Penilaian kualiti telur sememangnya ada dilakukan oleh embriologis dengan bantuan mikroskop, namun ia mungkin tidak benar kerana ia hanyalah berdasarkan rupa luarannya saja dan bukannya ciri dalamannya.
Sukar untuk menguji sifat dalaman atau intrinsik telur melainkan dengan mengorbankan telur itu sendiri kerana ia bersifat satu sel.
Walaupun sperma baru banyak dihasilkan setiap hari, ia juga tidak semestinya berkualiti normal. Malah, mempunyai sehingga 70 peratus sperma yang cacat misalnya mempunyai dua kepala, dua ekor, tiada ekor dan seumpamanya adalah suatu perkara yang dianggap sihat atau normal di kalangan kebanyakan lelaki.
Selain itu, penilaian air mani atau sperma hanyalah berdasarkan bilangan, pergerakan dan sifatnya. Tiada ujian untuk menilai keupayaan sperma menembusi selaput telur.
ICSI atau intra cytoplasmic sperm injection ialah pilihan yang paling ideal selepas ini memandangkan ia dapat menyuntik terus sperma ke dalam sitoplasma telur.
Dalam hal ini, kepakaran embriologis amat penting. Embriologis yang berpengalaman lazimnya dapat memberikan peratus persenyawaan sebanyak sekurang-kurangnya 70 peratus ke atas, walaupun telur atau sperma kurang berkualiti.
Namun, ICSI masih belum dapat memastikan embrio yang terhasil ini dapat berkembang dengan baik. Memandangkan ICSI adalah teknik yang lebih rumit daripada IVF, kosnya juga lebih tinggi.
Saya kurang pasti jika terdapat mana-mana pusat kesuburan dengan kos ICSI kurang daripada RM10,000, lebih-lebih lagi pada usia anda yang lazimnya memerlukan suntikan hormon yang berdos lebih tinggi dan sememangnya lebih mahal dan terus meningkat setiap tahun.
Sekiranya anda kakitangan kerajaan, lazimnya kos ubatan ini dapat ditimbal semula menerusi jabatan anda selepas anda mengemukakan bil. Di ibu pejabat LPPKN dan beberapa hospital kerajaan (misalnya Hospital Kuala Lumpur) dan hospital universiti (seperti Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya) juga ada disediakan kemudahan rawatan ICSI sama ada secara sendirinya atau secara kolaborasi dengan hospital swasta. Elok jika anda bertanyakan terus kepada mereka bagi mendapatkan anggaran yang lebih tepat.
Sekiranya anda dan suami berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dan memenuhi syarat tertentu (termasuk pendapatan suami isteri tidak melebihi RM4,000 sebulan), anda boleh memohon kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) untuk mendapatkan pembiayaan kewangan menjalani ICSI.
Bagaimanapun, memandangkan terdapat ribuan pasangan yang memohon setiap tahun dan kemampuan TAFF menampung tidak sampai 150 pasangan setiap tahun, penilaian anda mungkin merasakan lebih elok peluang itu diberikan kepada mereka yang lebih layak.
Usah berputus asa, bersabar dan apabila berkemampuan semula, jalani rawatan dan terus berdoa. Semoga anda hamil dengan rawatan selepas ini. Kadangkala, kehamilan itu berlaku secara semula jadi setelah berkali-kali gagal rawatan perubatan moden atau berteknologi tinggi.
Sumber : http://www.hmetro.com.my


















